BERITA TERKINI :

MISI BANJIR : 'Bantulah Mangsa Banjir Walau Hanya RM1'

By Sehinggit - Wednesday, 7 January 2015 No Comments


TANJONG KARANG – Keprihatinan orang ramai terutamanya penduduk di daerah ini amat diperlukan bagi membantu memenuhi misi bantuan kepada mangsa banjir yang berdepan kerosakan harta benda yang cukup teruk.

Pengerusi Briged Kebajikan Tanjong Karang, Mohd Faizal Mohd Barja berkata, orang ramai dirayu supaya dapat menyumbangkan peralatan rumah seperti dapur gas, tikar, telekung dan keperluan lain untuk Misi Bantuan Banjir ke Pantai Timur 3.0.

Menurutnya, keperluan itu amat penting untuk mangsa banjir yang kini sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing namun kerosakan harta benda dengan rumah dipenuhi lumpur amat menyedihkan.

“Tiada apa-apa lagi yang tinggal untuk mereka. Kawasan penempatan mereka bagaikan dilanda tsunami. Sungguh menyayat hati apabila terpaksa melihat rumah yang dibina hasil keringat sendiri dihanyutkan arus deras.

“Memang tak dapat digambarkan dengan kata-kata penderitaan yang ditanggung. Oleh kerana itu, Briged Kebajikan Tanjong Karang berusaha untuk membantu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faizal berkata, sumbangan atau bantuan keperluan rumah boleh disalurkan terus ke Masjid Jamiul Hasanah Batu 10, Tanjong Karang yang menjadi pusat pengumpulan bantuan mangsa banjir.

“Orang ramai boleh juga menghubungi Setiausaha Sekretariat, Hanafi Md Dom di talian 01119707811 atau Mohd Judi Sarjo di talian 0192459009 sebelum atau pada esok (Khamis) hari.

“Sumbangan dan bantuan penduduk amat diperlukan bagi bersama-sama membantu mangsa banjir memulakan hidup baru mereka. Bantulah walau hanya RM1, itu cukup untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Tambah Mohd Faizal, sebelum ini Misi Bantuan Banjir ke Pantai Timur 2.0 berjaya mengumpulkan sumbangan hampir RM30,000 selain pelbagai jenis makanan dan pakaian untuk diserahkan kepada penduduk Kuala Krai.

“Dalam misi itu, Briged Kebajikan Tanjong Karang turut menyertai operasi pembersihan di beberapa rumah di sekitar Manek Urai dan menyerahkan sumbangan di Bilik Gerakan Banjir Manek Urai, Pulai Chondong, Machang dan Chetok, Pasir Mas.

“Selain itu, Briged Kebajikan Tanjong Karang berkesempatan melawat hampir 80 keluarga di Kampung Manjor yang mana rumah mereka rosak teruk akibat musibah banjir itu.

“Dalam misi sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan turut turun padang bersama kakitangannya ke Pulai Chondong dan menyerahkan beberapa peralatan kepada Adun Pulai Chondong, Datuk Zulkifli Mamat,” katanya.

SUMBER - Sinar Harian

No Comment to " MISI BANJIR : 'Bantulah Mangsa Banjir Walau Hanya RM1' "